Wednesday, November 4, 2009

Khabar Dariku..

Assalamualaikum,
Lama saya tak update blog ni, kesibukan sbg student, biasalah dgn exam, class& etc.
Alhamdulillah, class Fiber Optic&Mobile Comm. -INSEP yg sy ikuti sejak 15hb6 yg lepas telah tamat pada 30hb10(4Bln). Sekarang diberi cuti seminggu bagi persiapan utk praktikal pula..
Insya'allah, saya kan menjalani praktikal bermula 9hb11'09 -9hb3'10(4bln). Lepas tu, ada rezki akan terus diserap ke syarikat tersebut. Insya'allah, semoga Allah permudahkan segala urusan kami..
Kepada yang berminat mengikuti kursus INSEP yg ada kelulusan diploma/degree dalam bidang science @ engineering @ IT, bolehlah melayari http://www.psdc.gov.my/ atau blh terus call 09-5689493/5689495(Cik Faradilla). Insya'allah, elaun kan diberi RM1000/bln(bergantung kepada penaja). (Harap betulkan niat ;) )
Kepada sahabat2 yang sedang/akan mengikuti kursus tersebut, saya doakan anda semua berjaya mengikuti kursus dengan baik&dapat input yang berguna disamping mendapatkan peluang pekerjaan.
Sekian, wassalam..

Thursday, September 17, 2009

Selamat Tinggal RAMADHAN, Selamat Datang SYAWAL

Assalamualaikum..

Di pagi 28 Ramadhan 1430H ini, aku termenung sejenak, memikirkan amalan2 yg ku rasa serba kekurangan, sebak hati ini mengenangkan masa yg ku sia2kan di bulan Ramadhan yg hanya tinggal b'sisa ini.. Namun jauh di sudut hati ini, memohon agar segala ibadatku diterima Ilahi, supaya aku tidak menyesal dikemudian hari, risau degup nafasku diambilNYA sebelum bertemu kembali Ramadhan akan datang..

Ya Allah, Ya Tuhan kami, temukanlah kami dengan Ramadhan yang akan datang. Berilah kami rezeki umur sehingga dapat kami temui lagi Ramadhan akan datang. Janganlah Engkau biarkan kami lalai dengan dunia di bulan2 lain.. Kami lemah Ya Allah, kami dhaif Ya Rabbi.. bantulah kami untuk mengekang diri kami dari nafsu&syaitan yang akan membawa kami kepada kemurkaanMu.. Terimalah segala amalan kami di Ramadhan ini, sesungguhnya kami telah melakukannya atas segala kesungguhan yg kami ada.. Jauhkanlah kami dari segala sifat munafiq dalam segala urusan kami.. Ya Rahman, tenangkan hati kami dari segala urusan dunia yang menyesakkan diri kami.. Pandulah diri kami kepadaMu.. Pemudahkanlah segala urusan kami.. Amin Ya Rabbal A'lamin..

Tanpa kita sedari, bulan Ramadhan akan pergi dari kita..bulan Syawal akan datang kepada kita selepas itu.. Syaitan2 akan terlepas dari ikatan & belenggu kembali datang untuk mengganggu hamba2Nya melakukan ibadat & mengajak kita kepada kemungkaran.. Bersediakah kita untuk menempuh kembali kehidupan setelah sebulan ditarbiyyah dengan berpuasa,bertarawikh, bertadarus, qiamullail& segala amalan yg dilakukan di bulan Ramadhan. Istiqomahkah kita dengan amalan2 tersebut di bulan2 lain? Atau sekadar sebulan kita melakukan amalan sebaik demikian? Sedarlah diriku & semua umat Islam, kerana Allah menjadikan Ramadhan supaya kita melakukan amalan sebaik berada di bulan Ramadhan supaya dipraktikkan di bulan2 yang lain.. Diharapkan, Syawal ini kita tidak mensia2kan segala tarbiyyah di bulan Ramadhan dengan menjauhkan diri dari segala kemungkaran, tidak membazir, tidak berlebih-lebihan dalam menyambut Idul Fitri, tidak melakukan kembali segala amalan buruk &meninggalkan sifat2 mazmumah yang telah kita tinggalkan semasa di bulan Ramadhan.

Salam Idul Ftri 1430H buat semua umat Islam. Semoga segala amalan kita diterima&diberikan kekuatan untuk meneruskannya di bulan2 lain.. Amin..

Sunday, August 16, 2009

Harapan Ramadhan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah…
Dengan rahmatMu oh Tuhanku…
Ku tempuh jua



Salam, sedar tak sedar kita akan berjumpa kembali dengan bulan Ramadhan lagi..
Tetapi, adakah kita mengambil ikhtibar daripada Ramadhan? Sudahkah kita bersedia untuk menghamparkan masa untuk beribadat di bulan yang Allah turunkan bagi umat Muhammad SAW beribadat?

Munasabahlah diri sendiri, lihat kembali diri kita setelah mengharungi sebulan berpuasa di bulan Ramadhan yang lepas adakah amalan kita makin bertambah setelah ditarbiyyah selama sebulan? Adakah hanya cukup dengan sebulan beribadat dapat melengkapkan diri kita sebagai tiket pelepasan ke syurga Allah? Renung2kan, fikir2kan...

Ramadhan hanya sekali sahaja setahun, Allah telah menurunkan beribu rahmat di bulan ini melebihi bulan2 lain. Malam Al-Qadar juga hanya ada di dalam bulan ini yg menyamai 83thn beribadat.

Di antara hadis2 yg menceritakan tentang kelebihan Ramadhan:-

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-


Oleh itu, bersama2lah kita mengejar peluang untuk mengumpul sebanyak yg boleh di bulan Ramadhan ini..

Selamat menyambut Ramadhan dengan mempersiapkan diri beribadat sebanyak yg mungkin..
(",) Wallahua'lam..

Friday, July 10, 2009

Hakikat Penyakit Riak

Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6 yang bermaksud:
“Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak.”

Pengertian riak
Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.
Perkara yang diriakkan oleh manusia;
1. Riak dari segi badan
Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.
2. Riak pada pakaian
Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.
3. Riak dengan perkataan
Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata-kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.
4. Riak pada amalan
Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangka n rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.
5. Riak dengan ramainya murid dan pengikut
Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.

Peringkat Riak
1. Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.
2. Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.
3. Riak Jali (yang terang)
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.
4. Riak Khafi (yang tersembunyi)
Riak ini pula tersembunyi di dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.

Punca Riak
Sebab-sebab yang boleh membawa kepada penyakit riak ini antaranya ialah;
1. Sifat suka dipuji oleh orang lain.
Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain.
2. Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain.
Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura.
3. Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian.
Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.

Bagaimana mengelakkan sifat riak?
Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah dengan menjauhi sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit.
Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;
1. Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.
2. Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.
3. Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.
4. Menanamkan di dalam diri bahawa melakukan sesuatu perkara kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu patut dijauhkan.
5. Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.
6. Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan. Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak.
Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun, untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya akan menyebabkan timbulnyaperasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit.
Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi, jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka.

Friday, June 12, 2009

KembaliLah Kepangkuan Agama al Hanif

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah .
Kini ummat Islam dinodai . Sejarah gemilangnya dipalit arang. Prestasi cemerlangnya dipandang sinis sementara pejuang kedaulatannya pula dicurigai .
Ummat Islam menjadi bangsat di atas tanahair sendiri , menjadi hina di hadapan kaum bangsa sendiri dan menjadi lemah dalam jumlah mereka yang ramai . Mereka hilang identiti dan luntur kualiti .
Bukankah kita ummat yang terbaik ?
Firman Allah swt yang bermaksud:
Kamu adalah sebaik – baik ummah , dikeluarkan dikalangan manusia . Kamu menegakkan perkara Ma’ruf dan mencegah perkara Mungkar dan kamu beriman kepada Allah swt.
( Surah Aali Imran . Ayat 110 )
Ummat ini tetap menjadi ummat yang terbaik asal sahaja mereka masih komited dengan 3 prinsip
[1] yang dinyatakan oleh Allah di dalam ayat 110 dari surah Aali Imran .
Ummat ini adalah ummat yang terbaik justeru inilah : [2]
Ummat yang dilahirkan oleh Allah di atas muka bumi ini sebagai khalifah , untuk menjadi tuan dan pentadbir urusan hidup , kearah sebuah kemakmuran yang abadi dan hakiki .
Ummat yang mempunyai Kitab suci ( al Quran ) sebagai pedoman dan panduan hala tuju yang bukan sahaja menjanjikan tamaddun yang soleh tetapi juga kehidupan yang dirahmati dan diredhoi oleh Allah swt.
[3]
Ummat yang diutuskan Rasul ( nabi Muhammad saw. ) sebagai pembimbing dan penunjuk arah yang bukan sahaja menjanjikan kesejahteraan dan kejayaan hidup tetapi juga menghindarkan kemurkaan dan azab ilahi .
[4]
Ummat yang dikurniakan aqal dan nafsu untuk mengendalikan sebuah kehidupan yang normal serta dikurniakan pula agama dan syariat untuk memelihara dan mengawal pengendalian tersebut. ( bukan bertujuan menghalang dan menafikan hak sebuah kehidupan.)
Muslimin dan Muslimat yang dihormati sekelian .
Persoalannya , kenapa dan mengapa ummat ini mengalami kemerosotan yang amat parah dan sangat kritikal ? Malah kenapa ummat ini terperangkap dalam kancah yang merosakkan prinsip aqidah mereka , melunturkan nilai akhlak dan moral mereka jua mengheret mereka dalam konflik perasaan dan polemic jiwa yang tidak berkesudahan .
Realiti ini telah memaparkan satu landskap kehidupan ummat yang sangat menghiris dan memilukan perasaan kita yang masih memiliki selembar iman dan secangkir agama ini . Manakan tidak……..
Institusi keluarga porak peranda .
Ibubapa sibuk memburu kemewahan dunia sementara anak terabai tanpa didikan dan asuhan yang sempurna. Hilang kasih sayang , lekang kemesraan dan hancur adab susila . Keluarga sedemikian hanyalah melahirkan anak yang liar tanpa kawalan , isteri durhaka tanpa rasa hormat kepada suami dan ketua keluarga yang tidak bertanggungjawab tanpa rasa bersalah .
Remaja tanpa jati diri .
Dunia mereka hanya dilingkari hiburan dan rakan sebaya yang tidak membantu pertumbuhan jati diri yang berwibawa dan bertaqwa .
Masa depan mereka terumbang ambing laksana langkah kaki mereka yang tidak berketentuan . malah ramai yang terjebak dalam dunia maksiat yang keji dan jenayah yang jijik.
Mereka menyumbang kepada peningkatan taraf index jenayah yang menggugat rasa aman dalam Negara .
[5]
Aktiviti maksiat dan Pusat hiburan bercambah .
Ianya bercambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan tanpa sebarang sekatan dan kawalan . Sebaliknya dengan rasa bangga , aktiviti dan pusat maksiat ini diperluas tanpa mengira sentiment ummat Islam .
[6] Rentak muziknya menenggelamkan ketinggian suara azan dari menara rumah Allah ( masjid ) dan aksi lincah mereka mengatasi keaktifan seorang pendakwah yang tekun menyebarkan agama .
Program agama dan gerakkerja dakwah difitnah .
Aktiviti amal Islami sering berhadapan dengan fitnah dan terpaksa berhadapan pula dengan pelbagai implikasi yang tidak sedikit , khasnya dari pihak tertentu yang sering memandang perkembangan ini dengan rasa cemburu yang negative .
Fenomena ini hanya melahirkan masyarakat yang jahil dan menjadikan mereka lemas dalam arus deras mungkar dan maksiat yang sukar dikawal dan dibatasi .
Elemen inilah yang menghancurkan peradaban insaniyyah ( kemanusiaan ) dan anasir inilah pula yang menjadikan keadaan ummah mengalami dilemma dalam mencari identity dan kuality diri mereka .
Insafilah , bahawa kejatuhan ummat ini bukan kerana mereka berpegang teguh dengan ajaran agama Islam tetapi kerana hubungan mereka dengan Islam yang kian renggang , penghayatan mereka yang kian luntur , amalan mereka yang kian surut , akhlak mereka yang kian terhakis dan keimanan mereka kepada Allah serta hari akhirat kian malap .
Marilah , kita bergandingan dengan seluruh upaya dan daya yang kita miliki serta mengambil segala ruang dan peluang yang ada untuk mengembalikan semula kegemilangan dan kecemerlangan ummat ini .
Pastinya pula tiada formula dan tiada pilihan yang paling tepat melainkan kita kembali ke pangkuan agama dengan segala penghayatan dan perlaksanaannya. Komited dan istiqamah dengan setiap suruhan dan ajaran Ilahi . Hayatilah Firman Allah swt ini : ( yang bermaksud )
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk Yang sebaik-baik ciptaan ( dan lengkap sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur dan menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan Dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang Yang rendah, Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala Yang tidak putus-putus. (jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula Yang menjadikan Engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil Yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?
( Surah at Tiin : Ayat 4 – 8 )
Muslimin dan Muslimat sekelian .
Agama lah yang mengajar kita supaya membina silaturrahim agar wujud perpaduan yang merentasi kepentingan bangsa dan kaum serta agama dan budaya .
Agama lah yang mendidik kita supaya mentaati ibubapa , menghormati orang yang lebih dewasa dan menyayangi mereka yang lebih muda , agar lahir masyarakat penyayang yang saling hormat menghormati diantara satu sama lain .
Agama lah yang membimbing kita supaya menghindarkan diri dari segala maksiat , mungkar dan jenayah , semoga masyarakat bukan sahaja mendapat redho dan rahmat Ilahi tetapi juga bebas dari kerosakan dan kemusnahan serta hidup dalam keamanan dan kesejahteraan .
Agama lah yang membentuk nilai akhlak dan moral terpuji bagi meletakkan ummat Islam sebagai ummat yang bermartabat dan berdaulat jua bertamaddun dan berkeperibadian tinggi.
Agama lah yang menjana kekuatan spiritual dengan nilai pengabdian diri kepada Allah swt . Kekuatan rohani inilah pula yang mencetuskan rasa takut kepada Allah dan mampu menilai antara syurga dan neraka serta dosa dan pahala .
Muslimin dan Muslimat sekelian .
Demi masa depan ummah dan tanahair tercinta ini , malah demi masa depan kita bersama , marilah kita kembali dengan sehayun tangan dan selangkah kaki ke pangkuan agama suci ini , justeru hanya inilah jalan yang lurus , jalan yang membawa kita ke pintu syurga .
Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) Yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
( Surah al – An a’am : Ayat 153 )
[1] Prinsip tersebut ialah : Menegakkan perkara ma’ruf ( syariat ) , Mencegah perkara Mungkar , Beriman kepada Allah swt.
[2] Sila rujuk Tafsir Al Munir Juzuk ke 4 . M/s 40 .[3] Firman Allah swt .
dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran guna menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita Yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.
( Surah an – Nahl : Ayat 89 )
[4] Firman Allah swt.

Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada Yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula Yang berhak ditimpa kesesatan.
( Surah an – Nahl : Ayat 36 )

Ulama' Islam

Ulama' Islam